
Diriwayatkan daripada Mu’az bin Jabal r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tidakkah kamu mahu saya beritahu kamu tentang kepala segala urusan, tunggak dan kemuncaknya?” Saya menjawab: “Sudah tentu, wahai Rasulullah.” Baginda pun bersabda: “Kepala segala urusan ialah Islam. Tunggaknya ialah solat. Kemuncaknya ialah jihad.” Kemudian Baginda bersabda lagi: “Tidakkah kamu mahu saya beritahu kamu tentang kunci semua perkara tersebut?” Saya menjawab: “Sudah tentu, wahai Rasulullah.” Lalu Baginda memegang lidahnya seraya bersabda: “Jagalah lidah ini.” Saya pun bertanya: “Wahai Nabi Allah, adakah kita akan diambil kira dan dibalas dengan sebab apa yang kita pertuturkan?” Baginda pun menjawab: “Semoga ibu kamu kehilangan kamu.1 Tidakkah manusia akan dihumban ke dalam neraka di atas muka (dalam riwayat lain, di atas lubang hidung mereka) melainkan oleh sebab hasil tuaian lidah mereka?”
Hadis hasan sohih yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmizi.
1. Maksud sebenar ungkapan ini adalah untuk melahirkan rasa hairan terhadap kelalaian Mu’az r.a terhadap perkara seumpama ini.
Pandangan Imam Ibn Rajab al-Hanbali tentang hadith ini:
“Ini menunjukkan bahawa menjaga, mengawal dan memelihara lidah adalah asas kepada segala kebaikan. Sesiapa yang dapat mengawal lidahnya, dia dapat mengawal, memperkukuh dan menjaga agamanya.”
Menurut Imam Ibn Rajab al-Hanbali, maksiat percakapan mencakupi:
1. Dosa syirik yang merupakan dosa yang paling besar di sisi Allah SWT.
2. Bercakap tentang Allah SWT tanpa ilmu. Perbuatan ini bergandingan dengan syirik.
3. Bersaksi secara dusta (syahadatuzzur) yang sama kedudukannya dengan dosa syirik kepada Allah SWT.
4. Perbuatan sihir dan menuduh orang berzina tanpa bukti yang sah (al-qazaf)
5. Dosa-dosa besar dan kecil yang lain seperti berdusta, mengumpat dan mengadu domba.
Maksiat-maksiat lain yang berbentuk perbuatan, kebiasaannya disertai oleh kata-kata yang membantu perlaksanaannya.
Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda:
“Perkara yang paling banyak memasukkan manusia ke dalam neraka adalah dua anggota badan yang berongga iaitu mulut dan kemaluan.” (Hadith riwayat Imam Ahmad dan at-Tirmizi)
Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya seseorang lelaki bercakap dengan suatu kalimah tanpa memikirkan keburukan dan kesannya. Kerana kalimah itu, dia tergelincir ke dalam neraka sejauh-jauh jarak antara timur dan barat.”(Hadith riwayat Imam Bukhari dan Muslim)
Imam Malik meriwayatkan daripada Zaid bin Aslam daripada ayahnya, bahawa ‘Umar r.a telah masuk menemui Abu Bakar as-Siddiq r.a yang sedang menarik lidahnya. ‘Umar r.a pun berkata: “Cukuplah, semoga Allah mengampuni kamu.” Abu Bakar r.a berkata: “Lidah inilah yang membawaku kepada pelbagai kebinasaan.”
Ibnu Buraidah berkata: “Saya melihat Ibnu ‘Abbas r.’anhuma memegang lidahnya sambil berkata: “Kasihan kamu. Ucapkanlah perkataan yang baik, nescaya kamu akan mendapat ganjaran yang besar, atau diamlah daripada berkata sesuatu yang jahat, nescaya kamu akan selamat. Jika tidak, ketahuilah kamu akan menyesal.” (Diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam Kitab az-Zuhd dan Abu Nu’aim dalam Kitab al-Hilyah)
Yunus bin ‘Ubaid berkata: “Saya tidak pernah melihat seseorang yang menjaga lidahnya melainkan saya turut melihat kebaikan pada seluruh amalannya.” (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi ad-Dunya dalam Kitab ash-Shomit)
Yahya bin Abi Katsir berkata: “Percakapan seseorang itu tidak baik melainkan kamu dapat mengetahui kebaikan itu pada semua amalannya. Dan percakapan seseorang itu tidak rosak, melainkan kamu dapat mengetahui kerosakan itu pada seluruh amalannya.” (Diriwayatkan oleh Abu Nu’aim dalam Kitab al-Hilyah)
Allahu a’lam.
Rujukan: Imam Ibn Rajab al-Hanbali r.h.m, Kitab Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam (Kitab Himpunan Ilmu dan Hikmah), Huraian Hadith ke-29.
Pesanan penulis: “Berhati-hatilah dalam percakapan sekalipun dalam perkara-perkara yang dianggap mudah. Ingatlah kepada Allah SWT sebelum, semasa dan selepas menuturkan sesuatu perkara. Percakapan yang terburu-buru kebiasaannya membawa lebih banyak keburukan berbanding kebaikan, sama ada kepada penuturnya, pendengarnya atau kedua-duanya. Kata-kata yang diucapkan dengan penuh jujur dan benar adalah jauh lebih mulia daripada perbahasan yang mengagumkan pendengaran manusia.”

Berhati-hatilah Wahai Pejuang-pejuang Islam!
Hujjatul Islam, Sheikh Muhammad al-Ghazali r.h.m pernah berkata:
“Penyakit kronik seperti ini (iaitu kecenderungan untuk menilai orang lain atau kejadian-kejadian yang berlaku di sekeliling seseorang dengan mengikut kefahaman dan pandangannya sendiri sahaja) menimpa bahagian tertentu dari sisi kefahaman agama para fuqaha yang memiliki akal tajam, tetapi tidak mempunyai hati seorang ahli ibadah, dan menimpa golongan sufi yang memiliki perasaan tajam, namun tidak mempunyai akal dan kefahaman pada fuqaha. Ianya juga merupakan rahsia di sebalik sikap orang-orang moden yang sedikit-sedikit menghafal beberapa nas (dalil) agama, namun tidak berjaya meletakkannya pada tempat yang sesuai dalam mengambil satu-satu kesimpulan hukum, dan para kaum pembaharu yang menjajakan idea-idea pembaharuan, namun mereka tidak berjaya meletakkan dasar ideanya tersebut di atas hujah-hujah yang mantap dan murni.
Sesungguhnya perjalanan dakwah Islamiyyah ini menghadapi hambatan kerana tindakan orang-orang yang sedikit kefahamannya terhadap Islam, namun sangat cergas dalam berdakwah dengan bekal akal mereka yang tumpul, sehingga lebih banyak menyebabkan timbulnya keburukan daripada kebaikan.
Pada kesempatan ini, saya tidak ingin menetapkan hukuman tertentu terhadap masalah-masalah tersebut. Namun yang saya harapkan adalah agar janganlah masalah-masalah tersebut melampaui had dan ketentuan kadarnya, sehingga perkara tersebut tidak dijadikan sebagai satu-satunya tugas dan kewajipan agama yang paling utama, walhal ianya adalah perkara-perkara sampingan dan furu’iyah dan menimbulkan perselisihan dalam masalah ini adalah termasuk tindakan menyembelih Islam dan umatnya.”
Kitab Fiqh Aulawiyyat (Fiqh Keutamaan), Prof. Dr. Yusuf al-Qardhawi

Sayyidina ‘Ali bin Abi Talib radiyallahu anhu berkata:
“Antara hak orang ‘alim (orang yang berilmu) yang mesti kamu tunaikan adalah:
1. Kamu memberi salam kepada orang ramai secara umum tetapi memberi salam kepadanya secara khusus.
2. Kamu hendaklah duduk di hadapannya.
3. Jangan menggerak-gerakkan isyarat tangan ketika berada di sisinya.
4. Jangan sesekali kamu mengenyitkan mata di hadapannya.
5. Jangan terlalu banyak bertanya kepadanya.
6. Jangan membantunya dalam memberikan sesuatu jawapan.
7. Jangan kamu mendesaknya ketika dia berasa malas.
8. Jangan berulang-ulang kali mengajaknya jika dia enggan.
9. Jangan memegang bajunya ketika dia bangkit berdiri.
10. Jangan mendedahkan sesuatu rahsia kepadanya.
11. Jangan mengumpat seseorang di hadapannya.
12. Jangan sengaja mencari kesilapannya. Sekiranya dia tersalah, hendaklah kamu menerima alasannya.
13. Jangan kamu berkata kepadanya: “Aku telah mendengar si fulan berkata begini atau pendapat si fulan berbeza dengan kamu.”
14. Jangan kamu bercerita tentang seorang ulama’ lain ketika bersamanya.
15. Jangan berpaling meninggalkannya kerana terlalu lama bersamanya.
16. Jangan kamu menolak untuk berkhidmat kepadanya. Apabila dia berhajat kepada sesuatu, sepatutnya kamu hendaklah mendahului orang lain untuk menunaikannya.
Kedudukannya (gurumu itu) samalah seperti pohon kurma. Kamu menunggu-nunggu bilakah sesuatu daripadanya akan gugur kepadamu.”
Rujukan: Mukhtasar Minhaj al-Qasidin (Ringkasan Kitab Jalan Mereka yang Menuju Allah), Imam Ahmad bin Qudamah al-Maqdisi. Bab 1: Ilmu dan Kelebihannya serta yang Berkaitan Dengannya.

Imam Ibn Atha’ rahimahullah berkata:
“Adakalanya Allah membukakan bagi kamu pintu (jalan) untuk melakukan perbuatan taat, namun Dia tidak membukakan bagi kamu pintu qabul (penerimaan). Adakalanya kamu ditaqdirkan untuk berbuat satu kemaksiatan, namun dengan itu diberikanNya jalan keluar untuk bertaubat dan insaf kepadaNya. Maksiat yang menimbulkan rasa menyesal dan ingin bertaubat adalah lebih baik daripada perbuatan taat yang menimbulkan sifat sombong dan berbangga diri.”
Ketahuilah bahawa ibadah itu lebih luas pengertiannya daripada sekadar amalan sunnah. Setiap amalan sunnah adalah ibadah, namun bukan setiap ibadah adalah sunnah. Perbezaan antara keduanya adalah: dalam ibadah ada perkara-perkara fardhu yang sudah jelas batas-batasnya, dan sesiapa yang meninggalkannya bermakna telah melampau dan melakukan kezaliman (ke atas dirinya), sedangkan perkara-perkara sunnah tidaklah demikian.
Seseorang Muslim tidak akan dapat menyempurnakan amalan-amalan sunnah, melainkan apabila dia telah terlebih dahulu menyempurnakan amalan-amalan fardhu. Kerananya, memelihara dan memberi tumpuan kepada ibadah-ibadah fardhu adalah yang paling utama, sedangkan melaksanakan ibadah-ibadah sunnah termasuk perkara tambahan. Ibadah sunnah tidak akan diterima, apabila ibadah fardhu disia-siakan. Ibadah-ibadah fardhu adalah asas, sedangkan ibadah-ibadah sunnah adalah tambahan dan penyempurna. Maka, tidak ada kesempurnaan apabila tidak ada asasnya, seperti kata pepatah: “Sesiapa yang meremehkan perkara asas, maka (dia) tidak akan sampai kepada tujuan.”
Sesiapa yang sibuk melakukan amalan-amalan fardhu sehingga luput daripada amalan sunnah, maka orang tersebut dalam keuzuran (boleh dimaafkan), namun sesiapa yang sibuk dengan amalan sunnah sehingga melupakan amalan fardhu, maka orang tersebut telah terpedaya (kepada hawa nafsu). Allah Ta’ala telah mengisyaratkan untuk berbuat adil (melakukan amalan fardhu) sebelum berbuat ihsan (melakukan amalan sunnah).
FirmanNya bermaksud:
“Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat, dan Allah melarang dari perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran.” (an-Nahl 16:90)
Imam al-Raghib al-Asfahani
(Kitab Fiqh Aulawiyyat, Bab Keutamaan dalam Perkara-perkara yang Diperintahkan, Prof. Dr. Yusuf Abdullah al-Qardhawi)
Dengan nama Allah, Tuhan yang Maha Pemurah, Maha Penyayang.
Allah SWT berfirman dalam surah ar-Rum ayat 30 yang bermaksud:
“Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama (Allah), (tetaplah di atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.”
Benarlah bahawa fitrah manusiawi tidak dapat diubah dan tidak dapat dinafikan kerana sememangnya Allah SWT telah menciptakan hamba-hambaNya dengan fitrah tersebut. Tetapi yang perlu diubah dan seboleh-bolehnya dicegah adalah apabila fitrah manusiawi ini berlebih-lebihan sehingga melalaikan, terlalu kurang sehingga menghalang kebaikan atau tidak diletakkan pada tempatnya yang hak (sebenar) sehingga mengundang kezaliman kepada diri pelakunya sendiri atau kepada manusia lain. Islam adalah agama fitrah, manakala fitrah yang paling besar lagi jelas dalam diri semua manusia, hatta semua makhluk, adalah kecenderungan untuk menyembah, berharap dan bergantung kepada satu kuasa yang tiada tandingan iaitu Tuhan yang Maha Berkuasa dan Maha Sempurna.
Oleh itu, arahkanlah segala pandangan, tumpuan dan keinginan di landasan agama fitrah ini. Mudah-mudahan Allah SWT menetapkan keimanan, ketaqwaan dan amal ibadah kita di atas petunjukNya yang sebenar. Maha Suci Allah, Dialah yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.
Allahu a’lam
