Diriwayatkan daripada Abu Umamah al-Bahili, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya Allah, para malaikat, penduduk langit dan bumi, hatta golongan semut yang berada di dalam lubangnya dan ikan paus (yang berada di lautan) turut membacakan salawat (do’a) kepada sesiapa yang mengajarkan manusia akan kebaikan.”
Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Sayyidina Uthman Ibn ‘Affan r.a, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Orang yang paling baik di antara kamu adalah sesiapa yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya kepada orang lain.”
Imam Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa yang menyeru orang lain kepada hidayah (Islam), dia akan memperoleh ganjaran (pahala) sebanyak ganjaran yang diterima oleh orang-orang yang mengikuti seruannya itu dan tidak mengurangi sedikitpun pahala (ganjaran) mereka. Demikianlah, amalan yang paling mulia dan utama di sisi Allah adalah amalan yang paling banyak memberikan manfaat (kebaikan) kepada orang ramai.”
Allahu a’lam

Imam Ibnu Rajab al-Hanbali r.h.m berkata: “Tunggak semua perkara ini (yakni jalan dan permasalahan dalam mencari ilmu) adalah berniat untuk mencari keredhaan Allah SWT dan mendekatkan diri kepadaNya dengan cara mengetahui apa yang diturunkan kepada RasulNya, mengikut jalan Baginda SAW, beramal dengan sunnahnya dan menyeru manusia kepadanya (iaitu kepada Islam). Sesiapa yang bersifat demikian, Allah SWT akan memberikannya taufiq, membetulkannya, mengilhamkan kebenaran kepadanya dan mengajarnya apa yang tidak diketahuinya.”
Imam Ahmad bin Hanbal r.h.m pernah ditanya: “Siapakah yang patut kami tanya selepas kematianmu?” Jawab beliau: “‘Abdul Wahab al-Warraq.” Ada yang berkata: “Sesungguhnya dia tidak ada ilmu yang luas.” Kata Imam Ahmad: “Sesungguhnya dia seorang lelaki yang solih. Orang sepertinya akan diberikan taufiq kepada kebenaran.”
Nafi’ bin Yazid berkata: Ada ulama’ berkata: “Golongan yang mantap ilmu ialah mereka yang merendah diri kerana Allah SWT dan menghina diri kerana Allah SWT untuk mencari keredhaanNya. Mereka tidak bermegah terhadap orang yang lebih tinggi daripada mereka dan tidak menghina orang yang lebih rendah daripada mereka.”
Sebahagian ulama’ salaf pernah berkata: “Cukuplah dengan takutkan Allah SWT sebagai satu ilmu. Cukuplah dengan terpedaya terhadap Allah SWT sebagai satu kejahilan.”
Allahu a’lam
Rujukan: Kitab Jami’ al-Ulum wa al-Hikam (Himpunan Ilmu dan Hikmah), Imam Ibnu Rajab al-Hanbali r.h.m, Bab Syarahan Hadis ke-9
Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya agama Islam itu adalah mudah dan tidak seorang pun yang lebih suka mengambil sikap berat dalam agama melainkan ia akan kalah sendiri. Maka perbetulkanlah, perdekatkanlah, berilah khabar gembira dan gunakanlah waktu pagi dan petang, juga sedikit daripada akhir waktu malam.”
(Hadith riwayat Imam al-Bukhari)
